Wednesday 24 June 2009

39-Bukan Syadid Mengharap Tajdid

by 

Kedai busana pengantin yang ketujuh baru kami jelajahi setiap inci sudutnya. Ini yang terakhir aku kira. Semua kedai busana pengantin yang kami lawati menawarkan pelbagai pilihan busana, hampir serupa semuanya, namun tetap tidak ada seperti yang kami ingini. Kebanyakan set pakaian yang hendak disewa, sesuai denganku, tetapi tidak dengan Nurul Husna.
Akhirnya emak yang menemani memberi pendapat sebegini, “ Tempah sajalah baju pengantin kamu berdua. Masa pun panjang lagi. Nak cari yang sewa, semuanya kebaya, gaun, ketat-ketat.
Tak elok orang tengok”.

Kami akur. Setelah semua set busana yang ditunjukkan pemilik kedai tidak menepati citarasa. Barangkali untukku tiada masalah, hanya sepasang baju melayu songket atau satin, tetapi untuk Nurul Husna yang menjadi soalnya. Mustahil bakal isteriku hendak memakai kebaya ketat pada walimah kami nanti.
Ini kali pertama dalam hidup, bersua muka dengan bakal isteri yang telah menjadi tunanganku sejak tujuh bulan lalu. Tidak seperti Nurul Huda, Nurul Husna tidak berpurdah. Jubah merah hati dan tudung warna merah jambu lembut sudah cukup melindungi segala perhiasan diri seperti yang termaktub pada syariat. Namun masih wajahnya tidak dapat aku perincikan dengan tepat, dia lebih banyak tertunduk malu, dan tidak pernah sekalipun menentang mataku. Tidak mengapa, masih belum termeterai akad yang menghalalkan kami untuk berbuat sebegitu. Justeru akupun harus menjaga pandangan mata.
Hari ini aku ditemani emak, Nurul Husna pula bersama adik lelakinya, Syauqi yang masih bekerja sebagai kerani di kebunku, serta kakak kembarnya, Nurul Huda.
Kami melangkah ke kereta. Dua buah kereta sebenarnya. Satu kereta Myvi hitam milikku, satu lagi Proton Persona merah hati milik Syed Syaqur yang dipandu oleh Syauqi.
Selepas ini kami mahu terus ke kedai kain, membeli kain untuk menempah pakaian pengantin.
Ketika mahu membuka pintu kereta, aku tidak sengaja terpandang ke arah kaki lima kedai berhampiran. Sekumpulan remaja, mungkin sekitar 13-15 tahun sedang berkelahi. Aku melihat mereka saling tolak menolak, sehingga salah seorang di antaranya terjatuh ke dalam longkang.
Syauqi yang sejak tadi turut memandang ke arah sekumpulan remaja itu memandang pula kepadaku. Isyarat mata kami seolah bersetuju bahawa perkelahian itu perlu segera dileraikan. Kami melangkah hampir seiringan merapati kawasan pergaduhan remaja-remaja itu.
“Assalamualaikum”. Syauqi terlebih dahulu memberi salam.
“Waalaikumsalam”. Hampir serentak, mereka menjawab.
“Hei, aku kenallah abang ni. Dia yang masuk tv hari tu. Dapat tokoh apa entah”. Getus seorang remaja berbaju belang.
“Tokoh maal hijrahlah. Aku pun tengok”.Seorang remaja lain pula menyambut.
“Ni apa hal kamu semua bertolak-tolak ni? Bergaduh?” Aku bertanya.
“Ni bang. Budak ni, dia ejek-ejek budak geng kami”.
“Belasah je”. Seorang remaja berambut kerinting mencetus sorakan.
“Lah, pasal kena ejek je, kau orang semua nak gaduh-gaduh macam ni. Buang masa dik oi. Baik kau orang duduk rumah, tolong emak ayah kau orang, baca buku ke, berkebun ke. Ada juga baiknya”. Syauqi berbicara.
“Tapi bang, ni soal maruah. Mana boleh kita orang biar je budak-budak geng lain ejek-ejek geng kita orang. Tu bacul namanya”.
“Dik, tu bukan bacul, tapi tu perosak masa depan. Cuba bayangkan kalau kamu semua tengah gaduh, polis datang rush, tak pasal je kena tahan. Kalau dah kena tahan, kena masuk sekolah budak nakal, pusat pemulihan akhlak, sekolah Henry Gurney ke, siapa yang malu? Masa depan siapa yang rosak? Maruah siapa yang tercalar? Emak bapak kamu juga. Lagipun kalau setakat kamu ni bergaduh sebab ejek-mengejek ni, bukan mempertahankan maruah namanya. Kalau kamu semua tak belajar elok-elok, besar nanti tak jadi manusia, jadi penagih dadah ke, itu baru soal maruah. Faham?” Aku memberi syarahan panjang. Kumpulan remaja di hadapanku terdiam.
Memori dengan Al Hambra di Dar Al Huda yang pernah kubimbingi empat tahun lalu menyerbu ruang ingatan. Nasihat yang serupa pernah aku berikan kepada mereka.
Syauqi merapati budak yang ditolak jauh ke longkang. Habis luka berdarah siku dan lututnya.
“Tengok ni kau orang, kecil-kecil lagi dah gaduh cederakan orang. Kalau besar nanti, kau orang terus perangai macam ni, silap hari bulan terbunuh orang pula”. Syauqi berleter. Remaja yang terjatuh ke dalam longkang mengibas-ngibas baju dan seluarnya yang separuh basah.
“Kamu semua ni muda lagi. Tengok, basikal pun emak bapak yang belikan. Janganlah rosakkan masa depan sendiri. Jangan gaduh-gaduh. Nanti yang kena balik diri sendiri. Kalau kena tahan dengan polis ke. Tak ke susah macam tu. Dah, bermaafanlah masing-masing. Janganlah sebab ejek-mengejek pun nak jadi hal. Nak bergaduh sampai cedera. Orang kat Palestin tu, terpaksa angkat senjata lawan Yahudi, sebab negara dia dirampas. Yang kamu ni, orang bagi duduk kat negara yang aman, kamu pula bergaduh sesama sendiri”. Aku bersyarah lagi. Kumpulan remaja terdiam menunduk.
Seorang remaja berjalan merapati kumpulan remaja yang lagi satu. Segera bersalaman, diikuti oleh rakan-rakannya.
Mereka kemudian mendekati aku dan Syauqi, menyalami kami. Seorang demi seorang menitipkan ucapan terima kasih. Aku menepuk-nepuk bahu beberapa orang di kalangan mereka. Sebagai tanda mahabbah, biarpun aku tidak mengenali mereka semua.
Kami melangkah kembali ke kereta. Kumpulan remaja berbasikal beredar meninggalkan kawasan kaki lima kedai. Beberapa buah motosikal, ditunggang dengan laju, mengeluarkan bunyi bingit dan bising mengganggu ketenteraman. Syauqi terlatah kerana terperanjat. Beristighfar panjang kami dibuatnya.
“Macam-macamlah budak-budak ni. Kalau tengok gayanya, nak belajar kurang, lebih banyak nak ikut budaya-budaya tak elok, nak merempit, nak bercinta monyet. Tak nak dengar cakap emak bapak. Tapi kalau dah susah, dah eksiden, dah kena tidur lokap, barulah nak menyesal”. Syauqi merungut. Barangkali geram lantaran terkejut dengan bunyi bising dari motosikal yang berlumba sebentar tadi masih mempengaruhi mindanya.
“Itulah budak-budak ni. Semuanya kena mula dari rumah. Ibu bapa kena kawal anak. Dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia nak keluar. Beritahu anak solat jangan tinggal. Bagi didikan agama yang betul. Ni tidak, ibu bapa zaman sekarang ni, kerja cari duit je. Anak-anak langsung tak ditegur, kalau buat salah tak dimarah, budak-budak jadi mua. Tapi bila dah terkena, barulah nak salahkan orang, salahkan cikgu, salahkan kawan. Padahal kalau dalaman anak dia tu kuat, walaupun kawan-kawan ajak buat benda tak elok, dia akan fikir baik buruk. Tau buat keputusan”.
Itu pendapatku. Remaja sebenarnya mudah mendengar kata dan nasihat jika kena caranya. Mereka masih dalam peringkat untuk dilentur lagi. Masih di peringkat rebung. Pengalamanku ketika bersama Al Hambra di Dar Al Huda banyak mengajarku cara mendekati golongan remaja. Aku sendiripun pernah remaja suatu ketika dahulu. Mustahil aku tidak tahu apa keinginan mereka.
Kiranya, itu yang remaja. Orang dewasa pula apa ceritanya?
Seringkali aku melihat pertelingkahan yang berlaku dalam dewan perbahasan oleh golongan pemimpin. Masing-masing tidak mahu kalah dengan hujah. Hingga ada yang sanggup mengeluarkan bahasa kasar dan menyerang kredibiliti pihak lawan. Bukan tiada yang baik tidak berhujah kasar, namun realitinya boleh dikatakan sedikit jumlahnya berbanding yang lebih suka bertikam lidah. Sepatutnya dewan yang mulia itu dihormati, menjadi tempat para pemimpin berkumpul, untuk berbincang dan mencari penyelesaian masalah rakyat, tanpa mengira perbezaan ideologi politik. Bersama berganding bahu mencari penawar dan ubat kepada masalah dalam negara.


Menyedihkan apabila ia dijadikan seperti perdebatan ala kedai kopi, yang seolah dilantunkan oleh orang-orang kurang pendidikan dan pengalaman. Sedangkan semua kita sedia maklum, pemimpin-pemimpin itu dipilih dari kalangan mereka yang bijak pandai, tetapi bila bertelingkah, kelihatan lebih kurang bijak daripada budak kecil belum masuk tadika. Kadangkala yang betelingkah pula orang yang sama kompeni. Bawah satu fahaman, tetapi boleh tidak sehaluan. Alangkah memalukan. Itukah yang dinamakan kepimpinan? Berjuang demi kepentingan dan maslahah rakyat?
Perdebatan agak biadap dengan bahasa-bahasa kasar tidak wajar dipertontonkan kepada orang awam, lebih-lebih lagi kanak-kanak dan remaja. Mereka lebih mudah terpengaruh.
Jika pemimpin kencing berdiri, rakyat kelak kencing berlari! Kumpulan remaja berbasikal yang bertengkar tadi misalannya.
*****
Malamnya, aku tidak ke masjid lantaran perut yang tidak selesa. Sejak awal petang tadi, aku dihinggapi gejala cirit birit ringan, mungkin tersalah makan. Usai mandi dan bersolat, tempatku di hadapan televisyen.
“Kamu dah makan ubat sakit perut Aqam?” Emak keluar dari dapur. Menatang dulang berisi teko teh.
“Belum lagi. Lepas makan nasi nantilah baru makan ubat”.
“Ni, minum teh halia ni, biar selesa sikit perut tu”. Emak menuangkan secawan teh halia panas yang masih berasap untukku. Aku menyambutnya, biarpun agak kelat, namun petua tradisional ini sudah berhasil melegakan perut sejak dulu lagi. Lebih lagi apabila emak yang menyediakannya. Kata orang, kasih ibu ubat paling mujarab untuk kesakitan anaknya.
Jam baru 8.15 malam. Televisyen menayangkan berita perdana. Sambil berbual, minum teh halia panas, aku mengunyah cekodok pisang yang dihidang emak. Sambil itu mataku melirik ke arah peti televisyen, berita utama masih sedang bersiaran.
Ayah dan Solah belum pulang daripada berjemaah di masjid.
Iklan penaja menghiasi waktu selingan berita perdana yang tersiar di televisyen. Gambar menara berkembar tertinggi di dunia, yang terletak di kota metropolitan Kuala Lumpur terpampang di kaca tv. Temanya mudah, kemodenan dan kemajuan.


“Maju-maju juga, tapi sebenarnya ada lagi rakyat yang hidup susah. Melarat. Sampai tak ada duit nak beli beras bagi anak-anak makan. Emak dengan ayah pernah rasa dah dulu masa kamu semua kecil lagi”. Kata-kata emak, walaupun perlahan sahaja, tapi cukup untuk menarik minatku.
Berita perdana menayangkan kisah seorang ahli perniagaan berpangkat Tan Sri yang yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menggelapkan wang syarikat, pecah amanah.
“Inilah jadinya kalau taksub dengan kekayaan sampai sanggup ketepikan nilai moral dan kebajikan. Orang besar-besar yang macam ni je dengan kisahnya yang sekian. Itulah, zakat liat nak bayar, padahal gaji dengan untung bisnes cecah juta-juta. Tu yang tak berkat tu. Duit tu rasa tak cukup je, sebab tu sanggup pecah amanah, gelapkan duit syarikat. Hidup nak mewah, nak pakai kereta besar menjalar. Cukup tahun nak pergi melancong luar negara, keliling dunia. Tapi haji tak nak pergi. Apalah nak jadi”. Tukas Ibrahim. Entah sejak bila adikku ini sudah ada di ruang tamu.
“Kalau difikir-fikirkan, kemajuan yang ada ni tak banyak pun bagi manfaat pada orang-orang bawahan macam kita ni, tapi banyak untung dekat orang-orang atasan. Tengoklah, bangunan tinggi pencakar langit dibina, kat dalamnya lengkap dengan pusat beli belah termaju di rantau ni, kononnya, ada pusat pameran sains tercanggih, ada akuarium ikan terbesar, ada dewan simfoni dengan sistem bunyi terhebat, tetapi yang mengunjunginya siapa? Orang susah, orang kat pedalaman tak dapat pergi”. Nada Ibrahim cukup bersemangat. Jurutera muda ini memang berkobar-kobar jika diajak bicara perihal kesamarataan hak dan jurang taraf hidup. Dia seperti seorang pejuang hak asasi manusia. Ini membuatkan aku terfikir sendiri.
Anak-anak kampung terpencil di solok-solok di Kuala Krai, di Gua Musang, di Ajil, di Jasin, di Lenggeng, di Jerantut, di Baling tidak mampu membeli belah di sana. Kebanyakan mereka, hanya merasa pakaian yang dijual di pasar-pasar malam, baju-baju terpakai di kedai bundle. Membeli barangan di kedai-kedai runcit beratap nipah di kampung.
Di dewan filharmoniknya, simfoni orkestra tempatan dan luar negara dijemput membuat persembahan, penyanyi jazz menyampaikan irama merdu kegemaran orang-orang atasan, tetapi dapatkah rakyat bawahan menikmati hiburan sedemikian? Mereka tiada peluang kerana semuanya soal wang.
Anak-anak sekolah di pedalaman tidak merasa peluang meneroka dan memupuk minat terhadap bidang sains di pusat-pusat sains tercanggih itu, lantaran harga tiketnya sehingga RM18, jika dibuat membeli lauk, sudah boleh dapat ikan kembung dua kilo, buat makan seisi rumah selama seminggu. Itu tidak ditambah kos perjalanan untuk ke Kuala Lumpur yang bukan sedikit, mungkin dari kampung Ayer Lanas di daerah Dabong di Kelantan, atau di Jerangau, Hulu Terengganu. Jika tidak diharapkan inisiatif para guru sekolah mengatur rombongan sambil belajar, belum tentu mereka dapat menjejak kaki di kota metropolitan itu.
Keadaan ini memang jauh bezanya dengan anak-anak pegawai atasan, orang-orang kenamaan yang tinggal di Bukit Antarabangsa, di Damansara, di Petaling Jaya, di Subang Jaya yang ibu bapa mereka setiap hujung minggu membawa mereka melawat ke Planetarium Negara, membeli belah di pusat fesyen terkemuka, setiap kali cuti sekolah tiba dibawa berkeliling Cuti-cuti Malaysia. Anak-anak kampung, anak nelayan, anak penoreh getah, anak pesawah, anak tukang kayu, anak pegawai tadbir rendah, anak pemandu gred R3, anak tukang kebun sekolah, anak amah tidak dapat merasai itu semua.
Akhirnya, anak-anak orang bawahan, mencari hiburan alternatif yang termampu, berkumpul di tepi-tepi jalan, menyorak pasukan jagoan rempit dalam perlumbaan haram tanpa permit.
Kalau adapun anak-anak orang bawahan yang bernasib baik sepertiku, berjaya menjejak kaki ke menara gading, tetapi cabarannya bukan sedikit. Bukan tidak pernah aku pulang ke kampus menaiki kereta lama ayah, melalui jalan lama Melaka-Rembau-Semenyih yang bengkang bengkok dan berlubang-lubang.
Semuanya kerana apa? Kerana natijah dari pembangunan yang dijalankan secara berlebihan. Rakyat bawahan yang terbeban dengan kemajuan yang dicipta golongan atasan. Harga petrol naik melambung, kadar tol turut naik, harga barang makanan pun naik. Semuanya bagi menanggung ongkos untuk membina kemudahan dan infrastruktur moden atas nama kemajuan dan kemodenan yang berlebihan.
Rakyatlah yang tersepit. Jadi untuk apa dibina lebuhraya canggih dengan binaannya dikhabarkan antara yang paling moden dan selamat di dunia andai rakyat tidak semua dapat merasainya? Kadar bayaran tol untuk sekali perjalanan boleh dibuat membeli pakaian sekolah anak-anak untuk diguna sepanjang setahun tempoh persekolahan. Yang laju menjalar dengan kelajuan sehingga 150km/j adalah kereta-kereta mewah milik masyarakat berada dan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura!




Yang diuar-uarkan pendidikan untuk semua, peluang sama rata. Tetapi yang boleh dilihat adalah ketempangan yang nyata. Seorang rakan semasa di universiti pernah bercerita padaku, betapa jerihnya dia berjalan kaki enam kilometer keluar dari kampungnya di Kota Belud, Sabah untuk ke pekan bagi menggunakan internet untuk membuat permohonan kemasukan ke universiti yang dijalankan sepenuhnya secara online. Begitu juga ketika mahu menyemak keputusan permohonan, dia berjalan sejauh enam kilometer lagi mengharung selut dan lumpur, digigit pacat dan lintah semata-mata untuk menjejak kaki ke universiti.
Inilah tempangnya, mereka melihat mudah sahaja,seperti yang dilaung-laungkan, rakyat harus menuju arus modenisasi, seiring sejalan dalam kecanggihan teknologi, tetapi canggihkah rakyat yang terpaksa melalui semua ini?
Rakyat di pedalaman yang kampungnya tiada talian telefon, orang-orang bawahan yang tidak mampu memasang talian internet serba canggih di kediaman kecil mereka. Yang terlepas peluang pendidikan dan pekerjaan kerana tidak sempat mengisi borang atas talian kerana tidak punya komputer, apatah lagi jaringan internet di kampungnya. Mereka, orang-orang besar melihat segalanya mudah kerana mereka tidak merasa jerih payahnya hidup susah. Hakikatnya rakyat ramai yang hidup terseksa.
Barangkali jika ada sesiapa yang mendengar pendapatku ini, akan melabelkan aku sebagai syadid kerana berfahaman ‘seradikal’ itu, tetapi ada rasionalnya untuk mengharap tajdid sedemikian rupa.
Ini bukan kisah dongeng. Tapi ini sebuah realiti kehidupan.
Bukan kisah khayalan dan angan-angan ‘agak bodoh’ peserta pertandingan nyanyian jenis realiti televisyen yang menangis tersedu-sedan kerana tersingkir akibat kurang mendapat undian.


Kita membicarakan soal ibu-ibu yang menangis kerana tiada beras untuk memberi anak-anak makan.
Kita melihat ayah-ayah yang mengalir air mata tatkala anak-anak meminta tukar pakaian sekolah lusuh yang telah bertahun tidak diganti ketika permulaan sesi persekolahan.
Kita mendengar cerita para pemuda pemudi yang berpotensi dalam pelajaran yang terpaksa bekerja sambilan, yang mengalas perut dengan mee segera untuk menampung sara diri sepanjang pengajian kerana tidak mahu membebankan ibu bapa di kampung dengan meminta wang untuk perbelanjaan.
Kita bercakap tentang realiti kesusahan, kesempitan, air mata rakyat walaupun negara nampak sudah semakin maju dan ke depan.
“Bukan semua perkara yang nampak sempurna, ideal di mata, ideal di hati. Hakikatnya banyak ketempangan dan carik rabak yang perlu diperbaiki. Ini soal perubahan. Soal kesedaran”. Suara Ibrahim melantun pendapat kembali membawaku pergi dari lamunan. Ada benarnya kata-kata itu. Aku bersetuju.

Bilalah semuanya akan berubah. Juga bagaimana langkah yang perlu dilakukan untuk mewujudkan sebuah iftitah perubahan.
Hidup ini perlu kepada tajdid. Jangan takut dilabel syadid. Walaupun perubahan yang dibuat mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai keterlaluan. Setiap langkah dan pilihan dalam kehidupan perlulah terarah supaya menjadi suatu perubahan ke arah kebaikan yang berterusan. Pilihan yang perlu dibuat pula adalah pilihan yang meletakkan kebajikan insani, kemaslahatan ummah sebagai perkara pokok. Bukan pilihan yang mementingkan diri sendiri dan menguntungkan kroni.
Kerana hidup ini penuh dengan pilihan.
Membuat pilihan pula perlu kepada penghijrahan. Perubahan. Tajdid.
Perlu bermujahadah.